BAB LIMA
PENUTUP
5.1 PENGENALAN
Setelah menjelaskan secara
terperinci mengenai tajuk kajian yang dijalankan beserta dengan
perbahasan-perbahasan mengenainya maka jelaslah bahawa peranan remaja dalam
mengembangkan dakwah begitu penting dalam menyebarkan agama Allah SWT dan
menyampaikan kalimah thayyibah[1]
terhadap umat Islam dengan dalil-dalil dan fakta-fakta yang telah dikemukakan
oleh penulis.
Seterusnya dalam bab ini, penulis akan membuat rumusan
hasil kajian di samping memberi cadangan-cadangan membina yang dirasakan perlu
untuk kepentingan bersama dan boleh diadaptasikan di dalam kehidupan masyarakat
Malaysia. Semoga kajian ini diberkati oleh Allah SWT dan diharapkan dapat
memberi manfaat oleh segenap lapisan masyarakat yang ingin menceburi dan
mendalami ilmu dakwah.
5.2 KESIMPULAN
Setelah bertungkus-lumus dalam menyiapkan penulisan ini,
maka disini penulis dapat membahagikan kepada dua kesimpulan iaitu kesimpulan
umum dan kesimpulan khusus. Kesimpulan umum ialah satu kesimpulan secara umum
kepada golongan remaja dalam mengembangkan dakwah, manakala kesimpulan khusus pula
penulis akan membuat satu kesimpulan yang hanya tertumpu kepada golongan
pelajar IKMAS sahaja melalui hasil daripada analisis dapatan kajian yang
dibuat.
i.
Kesimpulan Umum
Peranan
remaja dalam mengembangakan dakwah memberi fokus utama kepada golongan muda
pada masa kini yang akan menghadapi dan berdepan dengan masyarakat yang kini
semakin terdedah dengan gejalah-gejalah sosial yang semakin hangat di
media-media massa. Keperluan kepada peranan remaja dalam mengembangkan dakwah
adalah sangat tepat kerana negara maju yang sedang diusahakan ialah maju
mengikut acuan Malaysia, iaitu maju bersama moral, spiritual dan material.
Agama
merupakan himpunan sejumlah prinsip dan peraturan yang memerlukan penghayatan.
Walaupun agama mempunyai prinsip dan peraturan yang baik dan elok, ia tidak
akan bermakna dan mendatangkan manfaat sekiranya ia tidak dihayati dan
diamalkan. Oleh itu agama akan berperanan sekiranya ada orang yang
mengamalkannya.[2]
Agama
Islam telah menentukan hala tuju yang perlu dimainkan oleh individu dan
masyarakat agar dapat membentuk insan yang seimbang di dalam aspek-aspek
jasmani, rohani dan intelek.[3]
Jasmani,
rohani dan intelek adalah suatu kegiatan dan kemahiran yang amat digalakkan
dalam Islam. Jasmani, rohani dan intelek menjadikan manusia berfikir, dari
berfikir menjadikan manusia itu tahu, dari tahu menghasilkan pengetahuan, dari
pengetahuan datangnya maklumat dan dari maklumat terbinanya ilmu. Al-Quran
memberi tumpuan tentang kepentingan kelompok Ulu al-Albab, iaitu
orang-orang yang tajam dan kreatif pemikirannya.
Golongan
Ulu al-Albab ini ialah orang-orang yang mempunyai kekuatan berfikir, berilmu
dan beramal. Bukan sahaja mereka mengkaji ayat-ayat Allah SWT yang tersergam
indah di kelilingnya dengan segala hikmah dan rahsia di sebaliknya tetapi hasil
pemikiran dan kajian yang dilakukan mendekatkan mereka dengan kebesaran dan
keagungan Allah SWT.
Tetapi
sehebat mana kita berfikir, akal manusia adalah terbatas. Akal manusia tidaklah
segala-gala. Akal manusia memerlukan petunjuk dan pedoman. Di sinilah datangnya
hikmah daripada Allah SWT supaya manusia dipandu untuk bijaksana memilih yang
mana buruk dan yang mana baik, yang mana hak dan yang mana batil dan yang mana
benar dan yang mana salah.
Oleh itu,
kemahiran berfikir itu adalah suatu yang amat asasi bagi manusia untuk
membolehkannya tahu dan berpengetahuan. Tetapi ilmu yang diperoleh memerlukan
penyuluh bagi menerangi jalan hidup. Hikmahlah yang menjadi penyuluh yang
terpenting bagi jalan berfikir manusia supaya ianya memiliki arah. Tanpa hikmah
manusia hilang kebijaksanaan kerana kebijaksanaanlah yang membawa manusia
kepada ketepatan, keadilan dan juga fitrah. Oleh itu, Islam melarang dan
menegah umat Islam daripada meminum arak, dadah dan sebagainya kerana agama
Islam adalah agama yang sangat menjaga kepada penganutnya supaya menjaga akal
fikiran dengan sebaik-baiknya
Islam
adalah agama dakwah. Dakwah bererti menyeru dan mengajak orang supaya
mengamalkan kebaikan dan petunjuk, menyuruh makruf dan mencegah mungkar. Setiap
muslim menjadi kewajipan untuk menjalankan dakwah mengikut kemampuan
masing-masing. Oleh itu apabila menjadi muslim, secara automatik menjadi
pendakwah[4].
“kamu adalah sebaik-baik ummat yang
terbaik yang dilahirkan untuk manusia menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari
yang munkar, dan beriman kepada Allah”[5]. Ayat ini memberikan gambaran tentang
kedudukan yang tinggi dan mulia bagi orang yang berdakwah terutamanya kepada
golongan muda (remaja) kerana golongan mudalah dari segi adatnya mempunyai
kesempatan yang lebih banyak untuk menyampaikan amal makruf dan nahi mungkar
berbanding golongan tua.
Semoga hasrat
untuk melahirkan generasi muda yang berperanan dalam mengembangkan dakwah dapat
di pupuk dan dididik dengan baik melalui aspek akidah, syariah dan akhlak dan
akan dapat mewarnai tamadun Islam dan memahat sejarah yang baik dalam menuju
kecemerlangan. Pelbagai strategi telah difikirkan dan diwar-warkan bagi memperkukuhkan
peranan remaja dalam mengembangkan dakwah di Malaysia mengikut acuan yang telah
digariskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dengan harapan terlaksananya peranan
remaja seterusnya melahirkan generasi muda yang bakal menerajui negara bangsa
yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah. Bak kata pepatah, “Pemuda Harapan
Bangsa, Pemudi Tiang Negara”.
ii.
Kesimpulan Khusus
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan ke atas pelajar-pelajar
Intitut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak telah didapati beberapa kekurangan
serta kelemahan dalam beberapa aspek yang tertentu. Aspek pertama yang dapat
dikesan ialah waktu kajian yang singkat dimana ianya menghimpit ruang serta
peluang untuk menyelidik dengan lebih terperinci mengenai kehidupan pelajar
IKMAS. Seharusnya, tempoh kajian mestilah dipanjangkan agar, pengkaji dapat
mendalami nilai-nilai serta aspek-aspek lain yang perlu diketahui agar kajian
akan lebih komprehensif dan menyeluruh.
Daripada
hasil kajian yang dibuat kepada pelajar-pelajar Institut Kemahiran Islam
Malaysia Sarawak kebanyakan pelajar-pelajar tersebut dapat memberi kerjasama
dalam mengisi boring soal selidik dan memberi sokongan dan cadangan yang bernas
dalam mengisi boring soal selidik, justeru itu tahap pengetahuan pelajar
Institut Kemaniran Islam Malaysia Sarawak agak memuaskan dimana mereka agak
faham konsep-konsep dakwah menurut Islam dan mengetahui serba sedikit mengenai
peranan golongan pelajar dan remaja dalam mengembangkan dakwah. Disamping itu
juga, penglibatan dalam program amali dakwah mendapat sambutan dan kerjasama
dalam program tersebut sangat memberangsangkan. Mereka juga mempunyai rasa
tanggungjawab mengenai peranan remaja dalam mengembangakan dakwah.
Golongan
remaja adalah sangat penting dimana golongan inilah yang akan membangunkan
sesebuah negara pada masa hadapan. Oleh yang demikian, pihak-pihak yang
bertanggungkawab seperti para pendidik hendaklah mengambil berat akan disiplin
dan masalah yang dihadapi oleh setiap pelajar atau remaja bagi memastikan
masalah pelajar atau remaja tersebut dapat diatasi dengan baik dan memberi
kaunseling supaya golongan remaja tersebut dapat mengetahui betapa pentingnya
peranan bagi seseorang remaja dalam mengembangkan dakwah.
Dengan
adanya kaunseling yang diberi kepada
remaja tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah disiplin mahupun
masalah akademik yang dihadapi oleh remaja dan pelajar tersebut. Di samping itu
juga, golongan tua atau ibu bapa hendaklah sentiasa memberi perhatian kepada
anak mereka bagi memastikan
masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka dan memberi sokongan
kepada mereka supaya mereka tidak terlibat dengan masalah-masalah sosial yang
akan menjerumus mereka daripada kebinasaan.
Akhirnya,
penulis berharap agar perkongsian ilmu yang sedikit ini mampu memberi keinsafan
dan kesedaran di hati setiap pembacanya terutamanya kepada umat Islam agar
kembali kepada ajaran Islam sebenar dan menjauhkan diri daripada
perkara-perkara yang boleh menjerumuskan diri umat Islam ke kancah kehinaan.
Semoga umat Islam yang ada pada era globalisasi ini mampu bersaing di persada
dunia setanding dengan negara maju yang lain dengan menonjolkan peribadi muslim
yang sebenar di mata dunia. Semoga apa yang kita harapkan ini mampu kita capai
bagi menjamin kemaslahatan ummah seluruhnya.
5.3 SARANAN DAN CADANGAN
Daripada hasil kajian yang
telah penulis lakukan akhirnya penulis akan mengemukakan beberapa cadangan
untuk mempertingkatkan lagi hasil kajian ini. Di mana dengan adanya cadangan
ini, maka usaha untuk menghasilkan kajian tersebut akan lebih terkenal dan
mudah difahami oleh masyarakat khususnya kepada golongan remaja yang minat dan
aktif dalam mengembangkan dakwah apatah lagi mereka yang tidak suka kepada
gerakan golongan muda dalam menyampaikan
dakwah. Antara cadangan penulis ialah :
5.3.1 Meningkatkan
Keberkesanan Kepada Golongan-Golongan Tertentu
i.
Remaja
a. Golongan remaja pada masa kini hendaklah sentiasa berwaspada dalam
melakukan apa sahaja perkerjaan dan perbuatan kerana hal ini akan memberi
banyak kesan yang sangat mendalam kepada golongan yang akan datang, oleh yang
demikian remaja hendaklah memantapkan ilmu-ilmu agama di dalam diri agar tidak
mudah terpengaruh dengan gejala-gejala sosial yang melanda negara kita
disebabkan budaya barat yang datang dari luar melalui media-media massa seperti
hiburan, internet, game dan sebagainya sangat berleluasa.
b. Remaja masa kini hendaklah berfikir dan membuka minda bahawa masyarakat
pada masa kini amat memerlukan didikan agama dan tidak lain hanya remajalah
salah satunya aset yang sangat penting bagi mengembangkan dakwah kepada
masyarakat tersebut dan usaha-usaha dakwah ini perlu ada dalam diri setiap
remaja bagi memperjuangkan usaha yang dibawa oleh Rasulullah SAW sebagaimana
pada zaman Rasulullah SAW.
ii.
Pelajar-pelajar IKMAS
a. Dalam mengembangkan dakwah khususnya kepada pelajar IKMAS adalah salah
satu usaha yang sangat penting untuk memastikan usaha dakwah ini akan
berterusan kepada pelajar-pelajar yang akan datang
b. Pelajar-pelajar juga hendaklah memberanikan diri dalam menyampaikan
dakwah kepada golongan remaja yang lain bagi mempraktikkan ilmu yang dipelajari
semasa dalam pembelajaran seperti menyampaikan ceramah-ceramah atau
tazkirah-tazkirah di dalam atau di luar IKMAS
c. Pelajar-pelajar juga hendakalah sentiasa bertanya atau berjumpa dengan
mana-mana pensyarah untuk berbincang mengenai masalah-masalah yang dihadapi untuk
mendapat nasihat dan tunjuk ajar daripada mereka yang arif tentang masalah
tersebut.
iii.
Kerajaan
a. Perundangan Islam mestilah dijalankan kerana apabila
tidak dilaksanakan maka perintah agama dan larangan agama akan dipandang remeh.
Justeru, pemerintah Malaysia perlu bertanggungjawab untuk menyediakan suasana
agama di dalam negara. Untuk menyediakan suasana agama pula, tidak cukup
sekadar mengislamkan institusi-institusi yang ada di Malaysia. Perundangan
Islam itu sendiri mestilah dikuatkuasakan. Apabila perundangan Islam
dikuatkuasakan, maka tugas dakwah akan berkembang dengan lebih pesat.
b. Jangan menghalang aktiviti yang
di lakukan oleh golongan muda dalam menyampaikan dakwah. Apa yang kita lihat
masyarakat masa kini ramai yang tidak suka dengan gerakan golongan muda ini,
sehingga mereka menghukumnya luar daripada kebenaran. Mereka yang mencelanya
lebih suka memandang kepada perkara-perkara yang negatif berbanding positif.
iv.
Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak IKMAS
a.
Memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk
memberi ceramah atau tazkirah sebagai pengisian pada waktu selepas magrib dan
sebagainya.
b.
Program
amali dakwah juga adalah memainkan peranan penting kepada golongan pelajar
untuk berhadapan dengan masyarakat di luar dan berpeluang untuk mempraktik dan
mencari pengalaman dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat seterusnya dapat
mengembangkan sedikit sebanyak ilmu yang di pelajari. Penulis berharap agar
program amali dakwah di IKMAS akan berterusan. Penulis yakin banyak manfaat
yang akan diperolehi oleh pelajar-pelajar apatah lagi yang tahu dalam bidang
agama ini, maka ini lebih di utamakan. Dengan hasil mengikuti program amali
dakwah ini, penulis yakin akan ramai pelajar-pelajar IKMAS akan mahir dalam
berdakwah kepada masyarakat dan ilmu yang dipelajari di sini dapat di
sumbangkan kepada masyarakat khususnya kepada mereka yang terlalu dahagakan
ilmu agama.
v.
Jabatan Agama Islam Sarawak
JAIS
a.
Para belia adalah bakal memegang tampuk
pemerintahan negara seterusnya mencorakkannya menjadi sebuah negara islam yang
unggul.[6] Hal ini
hendaklah diambil berat oleh mana-mana jabatan agama di dalam negara kita ini
untuk lebih memberi penekanan imu agama kepada masyarakat setempat.
b.
Jabatan-jabatan agama juga hendaklah
sentiasa memerhatikan golongan-golongan muda yang terlibat dengan gejala sosial
seperti budaya lepak, hiburan dan sebagainya untuk menangani masalah-masalah
sosial seperti ini.
c.
Jabatan-jabatan ini juga hendaklah
menunjukkan dan membuktikan rasa tanggungjawab mereka untuk membentuk dan
membimbing generasi muda. Misi dan visi sebagai pendakwah dan pendidik
hendaklah jelas. Generasi muda adalah orang yang memerlukan bimbingan dan pendidikan.
Mereka hendaklah berusaha sedapat yang mampu untuk menyebarluaskan ilmu
pengetahuan dengan sebaik mungkin.[7]
5.3.2 Meningkatkan
Keberkesanan Program Amali Dakwah
Kesedaran
sivik mengenai kepentingan dakwah oleh golongan remaja dan pelajar di Malaysia
masih jauh ketinggalan berbanding warga lain seperti di negara Mesir, Jordan,
Afghanistan dan lain-lain. Golongan remaja dan pelajar di Malaysia Khususnya di
IKMAS mengambil mudah tanpa memikirkan kesannya yang akan berlaku kepada
generasi yang akan datang. Oleh yang demikian, program-program berikut
merupakan cadangan-cadangan yang boleh diambil adalah seperti berikut:
i.
Penyediaan system latihan yang lengkap yang
tetap kepada kakitangan yang terlibat dalam pengurusan amali dakwah
a. System
latihan yang kekal ini dapat menguatkan kompenen pengurusan amali dakwah dalam
program-program latihan.
b. Ia dapat
membaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan amali dakwah melalui
mengwujudkan kakitangan utama yang betul-betul mahir dalam kerja tersebut.
ii.
Mengukuhkan pendidikan dan disiplin
a. Pengaruh
pendidikan awal dari institusi kekeluargaan dan sekolah atau institut pengajian
tinggi harus ditekankan secara berperingkat-peringkat.
b. Disiplin
pula harus dilaksanakan secara berterusan dalam menangani cara amali dakwah yang
betul.
iii.
Memperbaiki pengurusan pengangkutan
a. Pengurusan
kenderaan yang baik dan elok adalah bagi memudahkan pengangkutan awal amali
dakwah dari IKMAS ke lokasi atau tempat program amali dakwah. Ini adalah salah
satu cirri-ciri kemudahan dan menjimatkan masa.
iv.
Peningkatan ilmu dan teknologi dalam amali
dakwah
a. Kerajaan
negeri seharusnya menambahkan lagi bidang pengajian yang berasaskan ilmu agama,
terutamanya di institusi peringkat tinggi supaya ia lebih banyak pakar-pakar
dalam bidang ini dihasilkan.
b. Kehadiran
pakar-pakar yang lebih banyak, nescaya teknologi dakwah islamiah ini dapat
ditingkatkan dan seterusnya mencapai kejayaan dalam mengembangkan daulah
Islamiah.
v.
Peningkatan kesedaran golongan remaja dan
pelajar
a. Meningkatkan
kesedaran golongan remaja atau pelajar, kempen-kempen bertemakan dakwah
Islamiah melalui ceramah, forum, perbincangan, seminar yang diberikan boleh
membantu.
b. Disamping
itu, media-media yang bebentuk elektronik atau percetakan juga boleh mengambil
peranan dalam mendidik golongan remaja dan pelajar di negara kita terhadap
kepentingan peranan remaja dalam mengembangkan dakwah.
5.4 PENUTUP
Peranan remaja dalam mengembangkan
dakwah merupankan ilmu yang penting dalam menyampaikan dakwah kepada
masyarakat. Tanpanya adalah mustahil umat Islam dapat mengetahui dan
mengamalkan segala suruhan Allah SWT secara sahih dan betul seperti mana yang
dikehendaki oleh-Nya.
Perkara yang perlu diberi perhatian
sepenuhnya dalam bidang dakwah ini adalah mengenai akidah, syariah dan akhlak
seperti mana yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Perkara ini sekiranya tidak
diambil berat dengan segera maka ianya mendatangkan ancaman dan bahaya yang
serius terhadap akidah, syariah dan akhlak umat Islam.
Semoga dengan kajian ini diberkati
oleh Allah SWT dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada individu yang ingin
menceburi dan mendalami ilmu dakwah.
Sebarang teguran dan komen terhadap
apa jua kesilapan amatlah penulis harapkan. Semoga dengan penulisan ilmiah ini
dapat memberi cetusan minat kepada pengkaji-pengkaji dalam kajian yang akan
datang untuk mengkaji bidang yang berkaitan dengan dakwah secara mendalam dan
meluaskan lagi skop perbincangannya.
[1]
Kalimah laa ilaaha illa Allah
[2]
Laman Web, Ryan Koko, http://ryan-koko.blogspot.com/2012/05/peranan-pendidikan-agama-islam-dalam.html,
28 Januari 2014
[3]
Ibid.
[4] Shaikh
Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh Wan Roslili Abdul Majid (2001), Belia Dan
Masyarakat, Kuala Lumpur:
Institut Kefahaman Islam Malaysia, h.29
[5]
Surah Ali Imran (3): 110
[6] Laman
Web, Karangan BM, http://my.opera.com/karanganbm/blog/peranan-remaja-belia-masa-kini,
30 Disember 2013.
[7]
Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh Wan Roslili Abdul Majid (2001), op.cit.,
h.33.
alhamdulillah, terima kasih atas perkongsian. sedikit sebanyak dpt membantu saya dalam menyiapkan tesis.