Unknown
BAB SATU
PENDAHULUAN

1.1       PENGENALAN
            Remaja adalah satu aset yang penting dalam sesebuah negara dimana masa hadapan sesebuah negara adalah bergantung kepada golongan anak muda pada masa kini. Sesungguhnya peranan remaja adalah salah satu elemen yang sangat penting dalam mengembangkan dakwah khususnya kepada masyarakat setempat. Oleh itu, golongan remaja seharusnya mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi khususnya pengetahuan ilmu agama yang mantap di dalam diri bagi memudahkan golongan remaja menyampaikan dan mengembangkan dakwah kepada masyarakat.
            Remaja pada masa ini merupakan angkatan muda yang akan menjadi tonggak pemerintahan pada masa hadapan. Bijak pandai ada berkata, sekiranya kita hendak melihat kepimpinan masa hadapan, lihatlah remaja yang ada pada masa ini. Lantaran itu, dalam menempuh milenium yang sarat dengan cabaran reformasi ini, ciri-ciri remaja yang kamil[1] dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul[2] penting untuk membangunkan negara. Dalam hal ini, semua pihak berperanan bagi melahirkan remaja yang mempunyai ciri-ciri remaja yang berwawasan.
            Remaja yang berwawasan perlulah sentiasa berusaha untuk mencari ilmu dan dahagakan ilmu. Pepatah ada juga mengatakan ‘carilah ilmu sehingga ke negeri China’ kerana ilmu yang ada hanya setitik daripada selautan. Malahan, Albert Einstein juga pernah berkata ‘semakin banyak yang dipelajari, semakin banyak yang tidak diketahui’. Dengan melahirkan remaja yang berilmu pengetahuan, anak muda ini tidak akan mudah ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab serta akan sentiasa dihormati dan disanjung oleh masyarakat sekeliling. Ilmu dimiliki itu pula seharusnya dimanfaatkan bersama-sama orang lain. Kerana ilmu tanpa amal ibarat besi karat yang langsung tidak memberi manfaat.

1.2              LATAR BELAKANG KAJIAN
            Tajuk kertas projek ini ialah “Peranan Remaja Dalam Mengembangkan Dakwah: Suatu Kajian Terhadap Pelajar IKMAS, Sarawak.” Penggunaan istilah dalam kajian sosial perlulah dijelaskan secara konkrit dan terperinci mengenai apakah maksud yang dikehendaki oleh penulis  bagi mengelak kekeliruan dan salah faham mereka yang membaca kajiannya nanti. Untuk menjelaskan pengertian istilah yang dimaksudkan oleh penulis dalam kajian ini maka penulis akan menjelaskan beberapa perkataan yang dikira mungkin akan menimbulkan salah faham dan kekeliruan. Penulis telah mendefinisikan tajuk ini seperti berikut:
                                i.            Peranan:
            Menurut Kamus Dewan, “peranan” bermaksud bahagian (sandiwara, pekerjaan, tugas) yang dipegang: bahasa melayu sanggup dan mampu mengambil. (sebagai bahasa kebangsaan yang tunggal).[3] 
                              ii.            Remaja:
            Menurut Kamus Dewan, “remaja” bermaksud mulai dewasa, sudah akil baligh dan sudah cukup umur untuk berkahwin.[4]
            Gadis yang sudah mulai dewasa (mulai timbul rasa cinta berahi); pemuda yang sudah mulai dewasa (mulai timbul rasa cinta berahi).[5]
                            iii.            Dakwah:
          Kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan; golongan-golongan (kumpulan) yang bergiat dalam dakwah.[6] Dr. Yusuf al-Qaradawi memberi definisi dakwah sebagai usaha membawa orang lain kepada agama islam, supaya mengikut petunjuk agama ini, melaksanakan ketetapannya dimuka bumi ini, mengkhususkan segala bentuk perhambaan diri, permohonan dan taat hanya kepada Allah sahaja, melepaskan diri daripada segala kongkongan yang bukan daripada Allah (taghut)[7] yang terpaksa di patuhi.[8]         

1.3              BIDANG PENYELIDIKAN
            Bidang penyelidikan dalam tajuk ini ialah mengenai dakwah dan peranan remaja dalam mengembangkan dakwah.

1.4              SKOP KAJIAN
            Dalam pandangan Islam, terdapat banyak keutamaan dalam dakwah, dalam al-Quran banyak ditemukan ayat-ayat yang bersifat memotivasi diri pemuda untuk melakukan dakwah, antaranya ialah; “kamu adalah sebaik-baik ummat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah”[9]. Ayat ini memberikan gambaran tentang kedudukan yang tinggi dan mulia bagi orang yang berdakwah.  Pada ayat-ayat lain Allah SWT menjanjikan keuntungan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat bagi orang-orang yang berdakwah. Firman Allah “dan hendaklah kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebijasanaan (makruf) serta mencegah dari yang mungkar, mereka itulah orang-orang yang beruntung”.[10]
            Oleh itu, kita hendaknya menyeru kepada para pemuda agar senantiasa mempersiapkan dirinya dengan iman, ilmu dan amal agar dapat bersedia dalam mengembangkan dakwah. Kita semuanya menginginkan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat dan mendapat redha Allah SWT, oleh kerana itu, untuk mendapat keinginan tersebut tercapai salah satu caranya adalah turut bersedia dalam mengembangkan dakwah, terutama bagi para pemuda. Kerana merekalah yang mempunyai kesempatan yang lebih banyak untuk berdakwah.

1.5              OBJEKTIF KAJIAN
            Objektif-objektif kajian kertas projek ini seperti berikut:
                                   i.            Mengetahui peranan remaja dalam mengembangkan dakwah
                                 ii.            Mengkaji latar belakang Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak IKMAS.
                               iii.            Menganalisis peranan remaja dalam mengembangkan dakwah di Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak IKMAS

1.6              KEPENTINGAN KAJIAN
            Antara kepentingan-kepentingan yang dapat diperolehi melalui kajian ini ialah:
                                i.            Kajian ini memberi kesan yang amat berguna kepada pengkaji. Ia merupakan suatu ilmu yang patut dikaji, difahami dan dikuasai oleh semua orang agar khazanah ilmu ini dapat disebarkan kepada umum dan bermanfaat kepada semua orang.
                              ii.            Melalui kajian ini, maka dapatlah penulis memberi pendedahan kepada umat islam khususnya golongan remaja mengenai perkara-perkara yang penting dalam melaksanakan tuntutan dakwah dan seterusnya dapat meningkatkan dan memperbaharui ilmu yang sedia ada.
                            iii.            Kajian ini juga mempunyai kesan dan manfaat kepada golongan remaja yang amat besar nilainya. Hal ini kerana kajian ini sedikit sebanyak dapat memberi panduan kepada remaja untuk mengembangkan dakwah berlandaskan ayat al-Quran yang telah diterangkan.
                            iv.            Apabila rakyat di sesebuah negara itu mengaplikasikan kajian ini dalam kehidupan seharian mereka, sudah tentunya negara tersebut akan sentiasa aman disebabkan ada golongan yang menyeru kepada makruf dan mencegah daripada perkara yang mungkar. Justeru negara tersebut akan di persada dunia dengan barisan rakyatnya yang berketrampilan tinggi.

1.7              SOROTAN KAJIAN
            Sorotan kajian merupakan sesuatu yang penting dan perlu dilakukan oleh seseorang yang ingin menulis tidak kira dalam bidang apa pun. Dengan pembacaan dan pengkajian hasil penulisan terdahulu, seseorang penulis itu sebenarnya mampu mengelakkan daripada membincangkan hal yang sama dalam penulisan yang akan dikajinaya, malah dengan melihat penulisan terdahulu, ia dapat membuka peluang kepada penulis untuk mencari ruang-ruang kosong yang masih belum diterokai dan perlukan kepada penambahan idea yang lebih mantap.
            Penulis telah melakukan sorotan kajian dan kajian-kajian terdahulu. Apa yang penulis perhatikan telah ramai yang membuat kajian tehadap peranan dalam dakwah tetapi kajian-kajian terdahulu tidaklah menjelaskan persoalan yang sama dengan penulis. Antara bahan bacaan yang didapati oleh penulis mempunyai kaitan dengan tajuk kajian yang dibuat oleh penulis adalah seperti kajian lapangan yang lepas, buku-buku, dan bahan-bahan bercetak yang lain.
            Antara kajian lapangan yang lepas yang membincangkan tentang perbahasan mengenai peranan remaja dalam mengembangkan dakwah ialah kajian yang di buat oleh Azni Binti Abas 0460 (IKMAS 2011) yang bertajuk “Peranan Pelajar Agama Terhadap Masyarakat. Dalam kajian tersebut, walaupun penulisnya ada membincangkan mengenai peranan remaja dalam mengembangkan dakwah akan tetapi perbahasan yang dibuat lebih tertumpu terhadap pelajar agama dan menerangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan metod penyampaian kepada masyarakat dan yang berkaitan dengannya. Selain itu, kajian yang bertajuk “Cara Meningkatkan Kesedaran Diri Di Kalangan Remaja Islam” karangan Bibi Diana Bt. Zainoll Abidin (IKMAS 2004) turut membincangkan tentang peranan remaja dalam mengembangkan dakwah namun pengarangnya lebih memfokuskan kajiannya terhadap kesedaran para remaja islam dalam menyampaikan dakwah.
            Manakala, antara arkib karangan ulama’ terdahulu dan juga kini yang secara tidak langsung membincangkan mengenai ilmu asas-asas dalam berdakwah adalah seperti kitab “Muntakhab ahadith” karangan Hadzrat Maulana Muhammad Yusuff Al-Khandahlawi yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu oleh Abu Abil Hassan Ibn Musa dan Muhammad Sanadi Bin Hj. Abu Bakar (2009) banyak membincangkan mengenai asas-asas dalam berdakwah oleh golongan-golongan para Nabi dan Rasul serta para Sahabat sehinggalah sampai kepada golongan kita pada hari ini. Di samping itu juga, kitab ini ada menceritakan kisah-kisah sahabat Nabi Muhammad SAW dalam lingkungan remaja dalam mengembangkan dakmah Islam bersama-sama dengan Nabi sehingga syahid di jalan Allah kerana cintakan kepada Allah dan Rasullullah.
            Selain itu, dalam perbincangan mengenai cara-cara dan asas dalam menyampaikan dakwah serta strategi dakwah , penulis telah merujuk kepada buku karangan Ab.Aziz Mohd Zin (1997), “Pengantar Dakwah Islamih”,”Metodologi Dakwah” dan “Psikologi Dakwah”.
            Tujuan penulis membuat banyak tinjauan adalah bagi memastikan kajian lapangan yang lepas itu sesuai untuk dijadikan rujukan dan juga maklumat kepada penulis.

1.8              METODOLOGI KAJIAN
            Di dalam menyempurnakan kajian ini, penulis menggunakan beberapa metod untuk mendapatkan data dan membuat penilaian  tarhadap fakta yang diperolehi. Metod-metod tersebut ialah metod pengumpulan data dan metod penganalisaan data.

1.8.1         Metod Pengumpulan Data
            Metod pengumpulan data ialah usaha-usaha yang dilakukan dengan cara pengumpulan data dan pentafsiran terhadap data-data yang terkumpul. Penulis menggunakan beberapa metod kajian untuk memperoleh maklumat yang tepat bagi penulisan kertas kajian ini. Antaranya ialah:
                                i.            Metod perpustakaan
            Kajian yang dijalankan oleh penulis adalah merupakan kajian perpustakaan. Beberapa buah perpustakaan telah digunakan bagi mendapatkan data-data yang diperlukan. Antara perpustakaan tersebut ialah:
a.       Perpustakaan Institut Kemahiran Malaysia Sarawak (IKMAS).
b.      Perpustakaan Pusat Latihan Sarawak, JAKIM Cawangan Sarawak.
                              ii.            Metod dokumentasi
            Melalui metod ini, penulis akan merujuk kepada bahan-bahan bertulis sama ada penerbitan rasmi atau tidak rasmi seperti kitab-kitab, buku-buku, kertas-kertas kerja, tesis-tesis, jurnal-jurnal dan sebagainya.
                            iii.            Metod Internet
            Melalui metod ini, penulis mengumpulkan artikel-artikel yang berkaitan dengan tajuk melalui enjin pencarian seperti google, yahoo dan sebagainya. Sumber-sumber untuk memperolehi bahan bacaan ini diambil dari laman-laman web yang sah dan berkredebiliti sumbernya.
                            iv.            Metod observasi
            Melalui metod ini, penulis akan berbincang dan berdiskusi dengan penyelia, perseorangan dan kumpulan-kumpulan yang profesional dan arif dalam bidang kajian ini bagi mendapatkan tunjuk ajar serta bimbingan untuk memperolehi bahan-bahan yang diperlukan untuk tujuan kajian lapangan ini.
                              v.            Metod historis
            Melalui metod ini, penulis akan mengumpul maklumat-maklumat berkaitan dengan sejarah yang mempunyai hubungkait dengan tajuk kajian lapangan ini. Maklumat-maklumat ini diperolehi daripada sumber-sumber yang sahih malalui buku-buku sejarah.

1.8.2         Metod Penganalisaan Data
            Metod penganalisaan data merupakan suatu proses yang dilakukan untuk mengolah idea ataupun data-data yang diperoleh secara sistematik dengan menggunakan bukti, memapar dan menerangkan supaya fakta-fakta dapat difahanmi dengan lebih jelas.[11] Justeru itu, segala persoalan-persoalan yang menjadi perkara perbincangan dalam kajian ini dapat diperjelaskan dengan sebaiknya. Di dalam menganalisis data yang diperoleh, penulis menggunakan metod:
                                i.            Induktif
            Dengan menggunakan metod ini, penulis akan menghuraikan analisa data berdasarkan maklumat dan pemerhatian yang diperolehi, contohnya analisa berdasarkan rujukan perpustakaan.
                              ii.            Deduktif
            Melalui metod ini, penulis akan menganalisa terlebih dahulu sebelum menghubungkan analisa tersebut dengan maklumat sebenar kajian.
                            iii.            Komparatif
            Melalui metod ini, penulis akan membuat perbandingan data daripada kedua-dua metod di atas iaitu induktif dan deduktif.
  
1.9              SISTEMATIKA KAJIAN
            Kajian ini mengupas mengenai golongan remaja dalam mengembangkan dakwah dan kajian yang berkaitan dengannya. Kajian ini dibahagikan kepada beberapa bab yang khusus dalam mengupas tajuk kajian ini.
            Dalam bab satu menerangkan tentang pengenalan tajuk, pengertian tajuk kajian, bidang penyelidikan, latar belakang kajian, objektif kajian, kepentingan kajian, sorotan kajian, metodologi kajian dan sistematika kajian.
            Seterusnya dalam bab kedua iaitu perbahasan tentang remaja, ianya akan menghuraikan mengenai pengenalan kepada remaja dan latar belakang remaja pada masa kini, memertabatkan generasi muda, kisah-kisah dan sejarah sahabat golongan muda pada zaman Rasulullah SAW dan selepasnya yang berjuang mempertahankan agama Allah SWT.
            Seterusnya penulis akan menghuraikan peranan remaja berkaitan dengan dakwah. Ianya akan mengetengahkan moral dan agama remaja, peranan remaja dalam mengembangkan dakwah, pemuda harapan Islam, dakwah Islam masa kini dan cara-cara remaja dalam mengembangkan dakwah dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang remaja dalam aspek kehidupan.
            Manakala dalam bab ketiga pula ialah mengetahui latar belakang Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak IKMAS. Penulis akan menghuraikan latar belakang IKMAS. Penulis juga akan mendedahkan sejarah penubuhan IKMAS, carta organisasi IKMAS, dan lain-lain berkenaan dengan IKMAS.
            Bagi bab keempat pula penulis akan mengemukakan laporan kajian yang dibuat kepada pelajar-pelajar di IKMAS dan jadual serta rajah hasil daripada kaji selidik yang telah dibuat serta rumusan hasil daripada kaji selidik yang dibuat.
            Seterusnya dalam bab kelima merupakan bab penutup. penulis akan membuat rumusan hasil kajian di samping memberi cadangan-cadangan membina yang dirasakan perlu untuk kepentingan bersama.





[1] Sempurna, kesempurnaan.
[2] Lengkap, melengkapi.
[3] Hajah Noresah bt. Baharom (2005), Kamus Dewan, Ed. Ke-4, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, h.1178
[4] Ibid., h.1308
[5] Ibid., h.1308
[6] Ibid., h.305
[7] Berhala, melampaui batas, keterlaluan, zalim.
[8] Ab. Aziz Mohd. Zin (1997), Pengantar Dakwah Islamiah, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, h.1
[9] Surah Ali Imran (3): 110
[10] Surah Ali Imran (3): 104
[11] Sivachandralingam Sundararaja (2001), pemikiran dan penulisan ilmiah, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd., h.22.
2 Responses
  1. Unknown Says:

    penulisan kajian ni sangat2 membantu saya tuk mnjlnkn kajian, terima kasih


  2. Unknown Says:

    TERIMA KASIH ATAS PERKONGSIAN, SGT2 MEMBANTU DALAM MEMBUAT KAJIAN, SEMOGA ILMU YG DIKONGSIKAN DIKIRA SEBAGAI SATU AMAL IBADAH


Post a Comment

faith in islam

faith in islam
http://siaganantonio.blogspot.com. Powered by Blogger.