Nama
sebenar Imam Syafie ialah Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman bin Syafie
Bin Saib Bin Abdu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Mutalib Bin Abdul Manaf.
Imam
Syafie adalah berasal dari keturunan arab Quraisy. Nasabnya berkait dengan Nabi
Muhammad saw.
Beliau
dilahirkan di Kota Gaza Palestin pada bulan Rejab 150 Hijrah. Ada yang
mengatakan pada malam beliau dilahirkan itu Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi)
meninggal dunia akibat diracun oleh Khalifah Abu Jaafar al-Mansur dari Bani
Abbasiyah sewaktu Imam Hanafi berada dalam penjara. Beliau dipenjara , diseksa
dan dirotan kerana tidak mahu memberikan kerjasama kepada Khalifah Bani
Abbasiyah yang zalim itu dengan menolak tawaran untuk menjadi Hakim kerajaannya.
Imam
Syafie menghafal Al-Quran sewaktu berumur 9 tahun.Beliau menghafal Kitab
al-Muwatta’ yang ditulis oleh Imam Malik (Mazhab Maliki) selama 10 tahun.
Beliau mempunyai kecerdikan dan daya ingatan yang sangat luar biasa.Dibenarkan
memberikan fatwa sendiri oleh gurunya sewaktu berusia 15 tahun sewaktu mengajar
di Masjidil Haram.
Sebelum
melahirkan beliau, ibunya bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari perutnya
lalu naik ke langit.Lalu bintang itu pecah lalu jatuh bertaburan jatuh ke
bumi.Cahaya dari bintang pecah yang jatuh itu menerangi seluruh muka
bumi.Ibunya terkejut bila mengetahui suaminya juga mengalami mimpi yang sama
iaitu dia melihat ada sebutir bintang yang keluar dari perut isterinya.
Imam
Syafie penentang amalan bidaah. Kata beliau, semua perkara yang diadakan
menyalahi Quran dan sunnah atau ijmak ulama adalah bidaah yang keji dan sesat!
Manakala mana-mana perkara atau kebaikan yang tidak menyalahi sedikit pun dari
kesemua itu adalah bidaah yang terpuji. Imam Syafie berpegang kepada fahaman
Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti juga 3 orang Imam Mazhab lain yang terkenal
seperti Imam Hanafi,Imam Maliki dan Iman Ahmad Bin Hambal (mazhab Hambali).
Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah ini dicetuskan oleh ulamak sebelum mereka iaitu
Syeikh Abu Hasan Asyaari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi.
Imam
Syafie juga melarang Taklid, baik taklid kepada dirinya sendiri ataupun kepada
sesiapa saja. Beliau selalu berpesan: “Janganlah mereka-reka dalam perkara
agama mengguna-pakai taklid sahaja kepada perkataan ataupun tindakan yang tidak
disertai dengan keterangan ataupun alasan dari Quran dan hadis”. Beliau juga
berpesan : “Tiap-tiap perkara yang saya katakan padahal kata Rasulullah
bertentangan dengan perkataan saya, Rasulullah itulah lebih utama perlu
dituruti”
NOTE: (
Ramai yang tidak mencatatkan nama mursyid tarbiah ruhani bagi Imam As-Syafie
kerana nak menafikan pendapat-pendapat yang memisahkan ilmu fiqah dgn tasauf,
guru beliau dalam bidang ini ialah Syuhbban Ar-Raie & Abu Hamzah As-Sufi.
Untuk ma'aluman, ketiga-tiga Imam Mujtahid punyai mursyid dlm ilmu tarbiah
ruhani.
Imam
Abu Hanifah gurunya Imam Jaafar Shodiq. Imam Malik pula gurunya Imam Musa
Kadzim & Maaruf Al-Khurki manakala bagi Imam Ahmad pula gurunya ialah Abu
Hamzah As-Sufi & Bisyru Al-Hafi. Semua Imam-imam agung dari ke empat mazhab
ada guru khusus mereka dalam tasawuf...hanya orang orang yg bodoh sahaja
menganggap Tasawuf & Tarbiah Ruhani berasal dari Hindu-Buddha. ALLAHU ALIM!
)
Antara
pujian atau pandangan ulamak-ulamak lain kepada Imam Syafie ialah:
Imam
Malik bekas gurunya pernah berkata:
“Tidak
ada lagi keturunan Quraisy yang lebih pandai daripada Imam Syafie”
Imam
Ahmad Bin Hambal berkata:
“Wahai
anakku, Imam Syafie itu seperti matahari bagi dunia dan seperti kesihatan bagi
tubuh.”
Beliau
juga berkata:
“Saya
belum faham mengenai ilmu hadis kecuali selepas belajar dengan Imam Syafie”.
Kata
Imam Ahmad lagi:
“setiap
ahli hadis yang memegang tinta adalah terhutang budi kepada Imam Syafie”
Imam Muhammad
al-Hakam berkata:
“Saya
belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui, cerdik akalnya,lebih cerdas
fikirannya, lebih cermat amalannya,lebih fasih lidahnya daripada Imam
Syafie”.
Beliau
berkata lagi:
“Saya
belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui berkenaan usul Fiqah selain dari
Imam Syafie”
Menyelusuri
perjalanan hidup dan proses pembelajaran Imam Syafie amat menarik sekali.Ayah
beliau meninggal sewaktu Imam Syafie masih kecil, ada riwayat yang mengatakan
sewaktu beliau masih dalam kandungan ibunya lagi. Gurunya yang pertama secara
tidak formal ialah ibunya sendiri. Ibunya mengajar beliau mengenal huruf dan
mengaji al-Quran. Setelah berumur 9 tahun beliau sudah dapat menghafal
Al-Quran.
Bila
ibunya membawa Imam Syafie untuk berguru dengan Imam Ismail Kustantani, seorang
guru ilmu Al-Quran yang terkenal waktu itu, Imam Ismail pada mulanya menolak
kerana Imam Syafie baru berusia 9 tahun sedangkan dia hanya menerima orang
menjadi muridnya setelah berumur 12 tahun.Namun setelah dia menguji hafalan dan
ingatan Imam Syafie tentang Al-Quraan, beliau amat tertarik dengan daya ingatan
dan suara Imam Syafie yang merdu lalu terus mengambil Imam Syafie menjadi
muridnya.Apabila Imam Ismail ada urusan lain, Imam Syafie pula disuruh
menggantikan tempatnya mengajar disitu!
Imam
Syafie juga amat meminati syair dan puisi, beliau pernah berguru dengan Mas’ab
bin Zubair seorang penyair terkenal.Dalam masa 3 bulan saja, Imam syafie mampu
menghafal 10,000 rangkap syair kaum Bani Huzail. Pernah suatu kali Imam Syafie
memasuki pertandingan syair atas desakan kawan-kawannya, lalu mengalahkan
gurunya Mas'ab pula.
Imam
Syafie berguru pula dengan Imam Sufian Ainiah dalam ilmu hadis sehingga menjadi
pakar dalam bidang hadis dan diberi kepercayaan oleh gurunya untuk mengajar
menggantikannya sewaktu ketiadaannya.
Selepas
itu Imam Syafie berguru pula dengan Imam Muslim al-Zanji dalam bidang Feqah
pula.Akhirnya dia diakui oleh gurunya dan dibenarkan mengajar serta memberikan
fatwa pula.Namun Imam Syafie masih merasakan kurang ilmunya lalu dalam diam
beliau mula membaca dan menghafal Kitab Muwatta’ yang dikarang oleh Imam Malik
bin Anas pula.
Imam
Syafie juga pernah belajar ilmu peperangan dan bermain senjata dengan gurunya
iaitu Amiruddin, seorang bekas tentera.Selepas itu Imam Syafie terkenal sebagai
seorang pemanah yang handal.
Imam
Syafie pernah mengembara ke Madinah yang mengambil masa selama 8 hari dengan
menaiki unta sambil sempat mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 16 kali untuk
menemui dan berguru dengan Imam Malik yang ketika itu menjawat jawatan Mufti
Kota Madinah.Imam Syafie belajar dari Imam Malik selama 8 bulan.
Selepas
itu Imam Syafie merantau pula ke Iraq untuk belajar dengan anak murid Imam
Hanafi iaitu Imam Muhamad al-Hassan dan Imam Abu Yusof.Beliau telah menghafal
Kitab al-Awsat karangan Imam Hanafi dalam masa 3 hari saja telah mengejutkan
kedua orang gurunya itu kerana biasanya murid-murid mereka yang lain mengambil
masa paling kurang 1 tahun untuk menghafalnya.
Imam
Syafie juga belajar ilmu firasat dengan Maulana Arif di Yaman. Di Yaman beliau
berkahwin dengan wanita bernama Hamidah dari keturunan Khalifah Uthman Bin
Affan. Mereka dikurniakan 3 orang anak.
Semasa
di Najran, Imam Syafie difitnah oleh Gabenor as-Saud iaitu Gabenor Najran
kononnya Imam Syafie sedang menghasut rakyat untuk memusuhi dan menjatuhi
kerajaan Bani Abbasiyah yang diperintah oleh Khalifah Harun ar-Rashid. Akibat
dari fitnah tersebut Imam Syafie dan anak muridnya telah ditangkap, tangan dan
kaki mereka dirantai .Mereka juga dipaksa berjalan kaki dari Najran ke Kota
Kufah.
Walau
bagaimanapun dengan izin Allah swt Imam Syafie terlepas dari hukuman oleh
Khalifah dan orang yang memfitnah mendapat hukuman yang setimpal. Diantara ayat
Al-Quran yang dibacakan oleh Imam Syafie, yang membuatkan hati dan jiwa raga
Khalifah Harun ar-Rashid terpesona ialah Firman ALLAH swt dari Surah
al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud :
“Hai
orang yang beriman, sekiranya datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu
berita,periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah
kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal
atas perbuatanmu itu”
Itulah
diantara liku-liku perjalanan yang ditempuh oleh Imam Syafie dalam menuntut
ilmu. Banyak lagi guru dan tempat beliau belajar yang tidak dinyatakan disini.
Beliau sangat menyintai ilmu. Pernah suatu masa Imam Malik memuji beliau dengan
berkata :
“Sekiranya
ada orang yang bahagia kerana ilmunya, inilah orangnya!”
sambil
merujuk kepada Imam Syafie. Berkaitan dengan kegunaan ilmu pula Imam Syafie
pernah berkata:
“Sesiapa
yang mempelajari Quran, besar harga dirinya.Siapa yang mempelajari hadis,
tinggi martabatnya.Siapa yang mempelajari bahasa,lembut hatinya.Siapa yang
mempelajari ilmu hisab, tajam pandangannya dan siapa yang tidak memelihara
dirinya, tidak bererti ilmunya”.
Oleh
kerana kecintaan beliau yang begitu mendalam terhadap ilmu, jadi tidak
hairanlah jika Imam Syafie telah menulis 142 buah kitab semasa hayatnya.
Imam
Syafie meninggal dunia selepas waktu isyak, malam jumaat 28 Rejab tahun 204
Hijrah (tahun 820 M) di rumah Abdullah bin Hakam sewaktu berumur 54 tahun di
bumi Mesir. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Bani Zaharah.
Semasa
Abu Ali al-Hasan menjadi perdana menteri Iraq, beliau telah mengarahkan ketua
tentera Mesir Badr bin Abdullah menggali dan memindahkan kubur Imam Syafie ke
Baghdad. Setelah digali mereka menemui batu bata yang tersusun membentengi
liang lahad Imam Syafie. Selepas mereka memecahkan batu-bata itu, mereka amat
terkejut kerana tercium bau yang sangat harum dari dalam liang lahad itu malah
ada beberapa orang dari mereka yang pengsan. Bila perkara ini diketahui oleh
perdana menteri Iraq itu, maka beliau pun membatalkan terus usaha
memindahkan kubur itu. Pada tahun 608 Hijrah, sebuah Kubah telah dibina .Tidak
lama kemudian sebuah masjid didirikan disitu dengan nama Masjid Imam Syafie.
Makam Ulama hebat ini terus dikunjungi orang ramai hingga kini.
Antara
kata-kata menarik Imam Syafie:
1.Tuntutlah
ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di
dunia dan akhirat.Ia juga amalan para Nabi, Rasul dan orang
soleh.
2.Marah
adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu
hindari ia supaya kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.
3.Hati
adalah Raja dalam diri. Oleh itu, lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan
dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan
kebathilan.
[Artikel
diatas saya sunting dari buku : Imam Syafie Pejuang Kebenaran; ditulis oleh
Abdul latip Talib]
Dibawah
ini saya siarkan 10 pesanan Imam Syafie untuk renungan kita bersama :
Sebelum
Imam Shafie meninggal dunia, beliau sempat mengajak sahabat-sahabatnya agar
membuat perubahan jiwa ke arah yang lebih baik. Beliau menyebut bahawa
barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat, maka
lakukanlah 10 perkara:
1. Hak
kepada diri, iaitu dengan mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan
percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
2. Hak
kepada Malaikat maut, iaitu menqada’kan segala kewajipan yang tertinggal, iaitu
dengan memohon maaf daripada orang yang dizalimi, membuat persiapan untuk mati
dan merasa cinta kepada ALLAH s.w.t.
3. Hak
kepada kubur iaitu membuang tabiat suka menabur fitnah, jangan suka kencing
merata, memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.
4. Hak
kepada Malaikat Mungkar dan Nakir, iaitu jangan berkata dusta, sering berkata
benar, meninggalkan maksiat dan memberi nasihat.
5. Hak
kepada Mizan, iaitu menahan kemarahan, banyakkan berzikir, ikhlas dalam amalan
dan sanggup menanggung kesulitan.
6. Hak
kepada titian sirat, iaitu buang tabiat suka mengumpat, wara’, bantu orang
beriman dan hidup dalam suasana berjamaah.
7. Hak
kepada Malaikat Malik, iaitu menangis lantaran takutkan kepada ALLAH s.w.t.,
membanyakkan sedekah, membuat kebaikan kepada ibubapa dan memperbaiki akhlak.
8. Hak
kepada Malaikat Ridwan, penjaga syurga, iaitu redha kepada qada’ ALLAH s.w.t.,
sabar menerima bala’ dan bertaubat.
9. Hak
kepada Rasulullah s.a.w., iaitu dengan sering bersalawat kepada baginda,
berpegang kepada sunnahnya dan bersaing mencari kelebihan dalam beribadah.
10. Hak
kepada ALLAH, iaitu mengajak manusia kepada kebaikan, mencegah manusia daripada
melakukan kemungkaran, bencikan kepada sebarang maksiat dan tidak
melakukan kejahatan.
"Hendaklah
orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain.
Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus
mendengar dariku. Saksikanlah Ya ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan
risalah-MU kepada hamba-hamba-MU."
~
Antara isi khutbah terakhir Rasullah s.a.w.
Post a Comment